Pages

Temanku !

Jom Exchange Link ! - Dont Forget to Follow me ye ^_^ ngeee - I will follow u back !

Saturday, February 4, 2012

Maulidur Rasul : Hakikat Kemenangan Dalam Perjuangan Islam

Matlamat utama perjuangan Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w adalah untuk meninggikan kalimah Allah dengan melaksanakan syariat Allah di atas muka bumi ini. Ia sesuai dengan tugas dan peranan Rasul itu diutus dengan berbekalkan wahyu al-Quran sebagai petunjuk dan hidayah.
Firman Allah SWT dalam Surah at-Taubah ayat 33:Dialah yang telah mengutus Rasul-Nya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikannya mengatasi segala agama yang lain, walaupun orang musyrik tidak menyukainya”.
Berdasarkan ayat ini Allah SWT menerangkan kepada kita bahawa matlamat perjuangan Islam semenjak zaman nabi dan rasul terdahulu hingga ke hari ini ialah untuk mentauhidkan Allah SWT dan menghapuskan segala bentuk pengabdian kepada yang lain.
Abu Musa al-Asy’ari r.a meriwayatkan bahawa seorang Badwi telah datang kepada Nabi s.a.w dan bertanya: “Wahai Rasulallah! Ada seseorang yang berperang untuk mendapatkan harta rampasan, ada juga seseorang yang berperang untuk disebut-sebut namanya, dan ada pula seseorang yang berperang untuk melihat kemampuannya. Oleh itu, siapakah di antara mereka yang berada di jalan Allah?” Rasulullah saw. menjawab dengan sabdanya:
“Barangsiapa yang berperang demi menegakkan kalimah Allah, maka beliaulah yang berada di jalan Allah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Berdasarkan hadis tersebut jelas menunjukkan bahawa perjuangan menegakkanIslam dengan tujuan untuk meninggikan kalimah Allah sahajalah yang diterima Allah SWT. Tuntutan ini sebenarnya adalah suatu tuntutan ke atas umat Islam agar Islam kelihatan sentiasa tinggi, dihormati dan disanjungi.
Firman Allah SWT dalam Surah at-Taubah ayat 40:“Allah menjadikan seruan (syirik) orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinya), dan Kalimah Allah (Islam) adalah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Perkasa, lagi Maha Bijaksana”.
Islam mempunyai pandangannya yang tersendiri tentang perjuangan dan mencari erti kemenangan. Dalam al-Qur’an, Allah SWT menggunakan beberapa istilah kemenangan iaitu al-falah, al- fawz, al-nasru dan alfath. Masing-masing mempunyai pengertian yang berbeza dalam merungkai erti kemenangan
Kemenangan dengan istilah al-falah melambangkan kemenangan yang umum dan menyeluruh meliputi segala aspek individu, masyarakat umum, dunia dan akhirat. Kemenangan al-fawz pula digunakan secara lebih khusus kepada kemenangan atau kejayaan di akhirat. Manakala kemenangan al-nasr pula adalah kemenangan dalam jihad kerana membela agama Allah ke atas musuh-musuhNya. Kemenangan di dunia disebut juga al-fath. Istilah al-fath digunakan oleh al-Quran dalam banyak ayat yang menyentuh tentang kemenangan besar. Contohnya, Allah SWT berfirman dalam Surah al-Fath ayat 1:
“Sesungguhnya Kami telah memberi kemenangan kepadamu (wahai Muhammad) dengan kemenangan yang nyata”.
Kemenangan di akhirat disebut sebagai al-fawz adalah kemenangan yang sebenar. Walaupun pejuang-pejuang Islam itu kalah atau gugur di medan peperangan atau sebarang medan perjuangan lain, namun pada hakikatnya mereka telah beroleh kemenangan. Kemenangan inilah yang menjadi matlamat sebenar di dalam perjuangan Islam.
Firman-Nya Allah SWT dalam Surah al-Saff ayat 10-12:
“Wahai orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan suatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu daripada azab yang pedih? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, serta kamu berjihad di jalan Allah (membela dan menegakkan agama Allah) dengan harta dan diri kamu. Yang demikian itulah lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenar). Nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai serta ditempatkan kamu di tempat tinggal yang baik di dalam syurga ‘Adn. Itulah kemenangan yang besar”.
Berdasarkan ayat tersebut, kemenangan di akhirat itu meliputi empat perkara iaitu:
Pertama : Kemenangan mendapat jaminan keselamatan dari azab yang pedih di akhirat
Kedua : Kemenangan mendapat keampunan dari Allah SWT atas segala dosa yang telah dilakukan;
Ketiga : Kemenangan dimasukkan ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.
Keempat : Kemenangan mendapat tempat tinggal yang baik khusus di syurga yang bernama ‘Adn.
Dalam Islam, kemenangan adalah suatu yang pasti dan perlu diyakini oleh setiap muslim. Mereka perlu mengimani masa hadapan yang baik dan gemilang untuk Islam. Ini kerana terdapat banyak nas al- Quran dan al-Hadith yang menyatakan bahawa Islam akan berjaya pada suatu hari kelak.Kemenangan di dunia telah dijanjikan oleh Allah kepada orangorang yang beriman dan beramal soleh. Janji ini bukan sahaja dikhususkan untuk umat Muhammad s.a.w, bahkan ia telah dinyatakan oleh Allah SWT sejak zaman Nabi Daud a.s. lagi.
Marilah kita menginsafi bahawa kemenangan Islam hanya akan dicapai dengan;
Pertama : Mentauhidkan Allah SWT.
Kedua : Menghapuskan segala bentuk pengabdian kepada selain Allah.
Ketiga : Komitmen kepada perjuangan Islam yang berteraskan kepada sirah Rasulullah s.a.w.
Keempat : Mengukuhkan perpaduan, persefahaman dan persaudaraan untuk menjamin kemenangan perjuangan Islam.
Kelima : Menjauhkan dan berusaha mengelakkan perselisihan di kalangan ummah.
“Sesungguhnya kami telah catatkan dalam kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah ada tulisannya pada Lawh Mahfuz: “Bahawasanya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hamba-Ku yang soleh”. (Al-Anbia’ : 105)
Sumber: e-masjid.jais.gov.my
Nota Kaki : Selamat menyambut Maulidur Rasul 

1 orang tengah membebel:

Muttallif said... Reply Comment

YAp kita sama-sama menghayati perjuangan Rasullallah S.a.w. Jadinya Baginda contoh terbaik untuk tauladan hidup kita.

Sedikit link untuk perkongsiaan
RAsullallah Mentor Terbaik